Monday, September 14, 2009

Laut Perak & selangor laluan seludup manusia


Sep 14, 09 4:16pm
Kawasan perairan Perak dan Selangor dikenal pasti sebagai laluan yang sering digunakan oleh sindiket penyeludupan manusia untuk membawa pendatang asing ke beberapa negara lain sejak hampir sembilan bulan lepas.

Komander Pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu ACP Zainul Abidin Hasan berkata ini mungkin kerana perairan itu terletak tidak jauh dari kawasan sempadan dan perairan antarabangsa.

Beliau berkata kebanyakan rakyat asing yang mempunyai pasport sah ke negara ini, dipercayai menggunakan Malaysia sebagai transit untuk menyeludup keluar ke negara lain terutama Australia.

"Berdasarkan tangkapan rakyat asing di kawasan perairan yang dikawal oleh pasukan Gerakan Marin Wilayah Satu, Perak dan Selangor mencatat jumlah yang tinggi berbanding perairan Kedah/Perlis dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media di atas bot marin di kawasan perairan Pulau Pinang malam tadi.

Beliau berkata khidmat sindiket berkenaan juga sering digunakan rakyat dari Iraq, Afghanistan dan Pakistan yang ingin ke negara lain.

"Kami telah menahan 28 rakyat Iraq, 65 dari Afghanistan dan 24 dari Pakistan dalam dua operasi sepanjang tempoh Januari hingga kini," katanya.

Sementara itu, Zainul Abidin berkata tugas meronda dan mengawal keselamatan kawasan perairan negara berjalan seperti biasa walaupun pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata sebanyak 12 bot marin dengan tiga pegawai dan 69 anggota terlibat dalam rondaan menjaga perairan di Wilayah Satu sepanjang tempoh itu. BERNAMA

0 comments: